FENOMENO JUTAWAN INILAH YANG DI KATAKAN REZEKI DARI ALLAH,SURI RUMAH MAMPU MILIKI PENDAPATAN SETARAF NAJIB

loading...

Dulu dia hanya suri rumah yang menyediakan makanan untuk suami dan keluarga terdekat. Langsung tiada asas dalam bidang perniagaan atau terlintas membina jenamanya sendiri.
Tetapi, segalanya berubah selepas sepupu meminta pertolongannya menyediakan makanan ringan untuk maj­lis hari jadi anaknya. Apa yang bermain di fikiran ha­nya sandwic telur dan tuna kerana mudah, cepat dan senang dimakan.
Berdebar-debar menunggu maklum balas tetamu, alangkah gembiranya Natasha Helwa Ramlee apabila ramai memuji dan mengatakan sandwic yang dibuatnya itu enak dan berbeza daripada biasa.
“Percubaan pertama memberikan semangat berbeza. Saya memang minat memasak dan suka mencuba pelbagai resipi. Tetapi, sebelum itu hidangan ini disediakan untuk keluarga tersayang saja. Apabila menyediakan untuk tetamu berbeza dan mereka memberikan maklum balas positif sudah tentu ia sangat menggembirakan,” katanya yang ditemui di rumah yang juga beroperasi sebagai pejabat.
Permulaan pertama memberikan idea untuk memuat naik ke laman Instagram peribadi. Alangkah gembiranya ibu kepada seorang cahaya mata ini apabila pengikutnya ingin menempah sandwic yang dimuat naik itu. Semangat semakin bertambah dan dia membuat promosi dengan memberikan sandwic percuma kepada keluarga untuk dibawa ke pejabat mereka. Ia menjadi detik permulaan peningkatan tempahan sehing­ga memaksa Natasha membina jenama sendiri menerusi Garsa Kitchen.
Jelas Natasha, mulanya dia hanya menyediakan sandwic berperisa telur dan tuna kemudian bertambah kepada ayam, daging dan perisa edisi terhad dengan campuran pisang dan coklat. Bagi memberikan kelainan setiap resipi yang dihasilkan adalah berdasarkan cita rasa sendiri.
“Sebelum menghasilkannya saya terlebih dulu membuat kajian di Internet kemudian memberi kepada keluarga terdekat untuk mendapatkan maklum balas mereka. Sekiranya ramai yang suka barulah sandwic perisa baru dijual,” katanya.
Sebelum mempunyai pekerja Natasha melakukan sendiri daripada membeli bahan keperluan, kerja di dapur, membuat promosi, mengambil tempahan dan penghantaran. Tetapi, segalanya berubah selepas tempahan meningkat setiap hari. Bermula dengan lima kotak meningkat kepada 10 kotak dan kini hampir 200 kotak sehari.
“Dengan tempahan yang banyak saya tiada lagi masa melakukan semua perkara. Saya terpaksa mengambil pekerja terutama untuk bahagian dapur dan penghantaran. Dengan lima pekerja yang membantu menyediakan sandwic setiap hari serta 12 orang untuk urusan penghantaran ia membantu mempercepatkan kerja. Saya ada masa memikirkan mengenai promosi dan pemasaran,” katanya.
Jadi buah mulut pelanggan
Menggunakan 100 peratus medium dalam talian semua tempahan datangnya daripada pelayar di laman sosial Facebook dan Instagram. Apa yang menariknya setiap satu sandwic dipastikan kesegarannya apabila menggunakan bahan berkualiti dan dibuat pada setiap pagi sebelum dihantar terus kepada pelanggan.
Untuk itu setiap pagi dia bersama pekerja akan ke pasar raya untuk mendapatkan bahan mentah manakala pekerja di rumah menyiapkan tempahan. Namun, sebelum dihantar kepada pelanggan, Natasha akan memastikan semuanya berada dalam keadaan baik.
“Saya sentiasa menjaga kualiti terutama rasa dan kebersihan. Ini sangat penting kerana bisnes makanan berbeza dengan perniagaan lain. Apa yang sedap itulah yang akan diceritakan kepada orang lain,” katanya.
Dengan menjaga kualiti produk hasilnya bermula dengan hanya 100 pengikut, kini meningkat kepada 54,000 pengikut. Keenakan sandwic buatan tangannya berjaya mencetuskan viral dalam kalangan pelanggan yang inginkan sandwic berbeza daripada biasa. Malah, tanpa berahsia dia percaya kejayaan Garsa Kitchen kerana dia membantu menambah nilai hidup orang lain apabila menyediakan makanan dengan cepat, pada masa yang ditetapkan serta rasa yang sedap.
Jelasnya, ketika mula-mula memikirkan perniagaan yang ingin dijalankan, Natasha hanya memikirkan untuk menjual makanan. Ini kerana pada usia enam tahun dia sudah menunjukkan kebolehan di dapur apabila menolong pembantu rumah menyediakan hidangan. Sifat ini terbawa-bawa sehingga dewasa dan mempunyai kepakaran dalam menyediakan masakan Cina.
“Oleh kerana minat memasak, alangkah baiknya sekiranya saya menceburi perniagaan makanan. Sebelum ini ramai beranggapan sandwic makanan mahal dan hanya disediakan di kafe mewah. Saya membuang tanggapan itu dengan menyediakan sandwic sedap pada harga berpatutan. Alhamdulillah ramai menyukainya dan inilah antara resipi kejayaan Garsa Kitchen,” katanya.
Bagi memantapkan lagi perniagaan Natasha banyak meminta pandangan ayah yang juga berniaga mengenai pengurusan syarikat. Suami pula yang sudah berhenti kerja kini membantu 100 peratus terutama dalam bidang teknikal dan pemasaran.
Dengan jualan sebulan mencecah RM80,000 sudah pasti besar harapan Natasha untuk melihat nama Garsa Kitchen terus kukuh dan berada di tempatnya sendiri. Walaupun mungkin sukar, semua itu dapat dilalui sekiranya fokus dengan apa yang diinginkannya.
“Memang saya gembira kerana tidak sangka saya yang dulunya hanya suri rumah yang mengharapkan pendapatan suami untuk membeli keperluan sendiri mampu membina perniagaan sendiri. Saya percaya kejayaan akan dicapai sekiranya kita ada matlamat yang jelas dan fokus mencapainya.
“Pada masa akan datang saya berharap Garsa Kitchen akan berada di setiap negeri di seluruh Malaysia dan menjadi bualan sebagai penghantaran makanan paling pantas dan sedap,” katanya.
loading...

0 Response to "FENOMENO JUTAWAN INILAH YANG DI KATAKAN REZEKI DARI ALLAH,SURI RUMAH MAMPU MILIKI PENDAPATAN SETARAF NAJIB"

Post a Comment

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close