loading...
KEADAAN pagar rumah mangsa dalam kejadian pecah masuk penyamun.
Ampang: Seorang wanita terpaksa merayu belas simpati kepada lima perompak yang mengugut mahu memotong jari manisnya selepas mereka gagal mencabut cincin berlian dipakai mangsa.
Kejadian berlaku jam 4.30 pagi semalam, apabila penjenayah menceroboh masuk rumah mangsa berusia 40-an di Taman Hijau, di sini.
Difahamkan mangsa terpaksa menggunakan sabun dan minyak masak yang disapu pada jari tangannya bagi mencabut cincin perkahwinan dipakai sebelum diserahkan kepada penjenayah.
Suami mangsa, seorang warga Perancis yang hanya mahu dikenali sebagai Alain, 50-an berkata, ketika kejadian hanya dia dan isterinya berada di rumah manakala dua anaknya belajar di luar negara.
Katanya, dia terkejut apabila mendapati lima penjenayah berpakaian serba hitam dan bertopeng berada di dalam bilik tidurnya sambil mengacukan pisau.
“Mereka (penjenayah) terus bertindak mengikat saya dan isteri menggunakan kabel pengecas telefon sebelum menyelongkar seluruh rumah untuk mencari barangan berharga.
“Sebaik mereka terlihat cincin berlian tersarung di jari tangan isteri saya, penjenayah cuba mencabutnya tetapi gagal,” katanya.
Dia berkata, penjenayah kemudian mengugut mahu memotong jari, namun isterinya merayu supaya dia dibenarkan berusaha menanggalkan cincin itu terlebih dahulu.
“Cincin itu sudah lama disarung menyebabkan ia menjadi ketat dan sukar dicabut daripada jari. Isteri saya terpaksa menggunakan sabun dan minyak masak sebelum berjaya menanggalkan cincin itu.
“Sebaik memperoleh cincin itu, semua suspek melarikan diri melalui pintu belakang dan memasuki kawasan hutan di belakang rumah,” katanya.
Dia yang memeriksa rumah mendapati jeriji besi pintu di belakang rumah diumpil sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan segera.
“Mereka melarikan wang tunai pelbagai matawang asing termasuk wang tunai RM1,000. Selain itu mereka turut melarikan pelbagai jenis barang kemas, sembilan utas jam tangan dan tiga beg galas mengandungi Ipad.
“Kerugian dianggarkan sekitar RM28,000 tetapi saya bersyukur kerana kami tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden ini,” katanya.
Alain berkata, dia sudah berada di negara ini sejak 15 tahun lalu dan baru berpindah ke rumah itu sejak dua bulan lalu.
loading...
0 Response to "Selesai Disabun Dan Dapat Apa Yang Dihajati, 5 Perompak Segera Beredar "
Post a Comment