loading...
Tangisan pilu kehilangan dua anak
MELAKA - Kehilangan dua insan tersayang serentak merupakan dugaan besar dihadapi oleh seorang ibu.
Malah, perasaan rindu kepada cahaya mata yang telah meninggal dunia itu semakin tidak tertanggung apabila tibanya Ramadan.
Itulah yang dirasai Patimah Md Kayos, 50 yang kehilangan dua anak, Mohamad Ma'arof Shadik Mohamed, 37 dan adiknya, Alam Iqbal Shadik Mohamed, 19 dalam tragedi kemalangan pada 22 Mei lalu berhampiran susur keluar tol Simpang Ampat Alor Gajah, Melaka.
"Saya amat merindui dua anak saya.
"Ramadan ini tak ada lagi dengar mereka minta saya buatkan udang masak sambal untuk juadah berbuka. Itulah menu yang selalu diminta.
"Kebiasaannya, mereka mesti balik rumah sambut puasa bersama, namun kali ini tidak lagi," katanya yang tidak dapat menahan air mata mengenangkan anak- anak kesayangannya itu.
Patimah berkata, masih segar diingatan pelukan erat kali terakhir Alam Iqbal seperti tahu ingin meninggalkan dirinya buat selama- lamanya sebelum pulang belajar di Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Saya teringat gurauan terakhir bersama Alam Iqbal pada Subuh sebelum dia pulang ke Serdang, saya sempat berseloroh cakap dia handsome sebab pakai baju yang tak pernah dipakai, bila dipuji dia tukar lagi baju yang lain. Tak sangka itu gurauan terakhir,” katanya yang tinggal di Kampung Solok Gaung, Air Molek di sini, semalam.
Terdahulu, dalam kejadian pada jam 3.30 petang itu, dua beradik tersebut cedera parah selepas motosikal dinaiki merempuh kereta yang rosak di lorong kecemasan.
Namun, tindakan pemandu menggunakan lorong kecemasan sehingga menghalang laluan terbabit, menyebabkan ambulans yang berkejar ke situ mengambil masa untuk sampai sehingga dua beradik terbabit meninggal dunia.
Sementara itu, adik-beradik mangsa terbabit, Maisalmah Shadik Muhamed, 27, berharap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pemandu menggunakan lorong kecemasan bagi mengelak kejadian yang menimpa abang dan adiknya berulang.
Dalam pada itu, bapa saudara mangsa, Mat Sani Md Kayos, 60, berkata, dia yang sudah lebih 30 berkhidmat sebagai pemandu ambulans juga turut kesal dengan kejadian yang menimpa anak saudaranya itu.
“Saya harap pihak berwajib dan juga menyeru Perdana Menteri mengambil tindakan wajar dan tegas supaya dapat beri pengajaran yang guna lorong kecemasan.
“Bukan apa, perkara ini sering berlaku dan saya dah mengalaminya banyak kali sewaktu bertugas tapi ramai yang tak sedar dan ambil remeh perkara ini.
“Mungkin juga garisan kuning boleh ditukar kepada garisan merah, supaya pengguna tahu laluan itu tak boleh lalu melainkan kecemasan,” katanya.
loading...