loading...
Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK)-‘Jangan Ingat Boleh Lari, Tunggu Hukuman Masing²’ SEREMBAN – Pemilik kenderaan yang dikesan menggunakan laluan kecemasan ketika insiden kemalangan di Kilometer 228.6 Lebuhraya Utara-Selatan, berdekatan Rembau, Ahad lalu, tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Md Dali Wahid berkata, kesemua pesalah lalulintas yang tidak mengikut undang-undang akan dikenakan tindakan yang dikeluarkan Bukit Aman.
“Saya sangat kesal dengan segelintir pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya dan menggunakan laluan kecemasan dengan sesuka hati.
“Misalnya kes di Kilometer 228.6 tempoh hari, jelas sekali menunjukkan ramai pengguna kenderaan menggunakan lorong kecemasan sehingga menghalang laluan ambulans.
“Ini secara tidak langsung menyukarkan operasi menyelamat, sekali gus memberi kesan kepada mangsa kemalangan yang terlibat,” katanya semalam.
Md Dali berkata, polis trafik kini sedang mengesan pengguna kenderaan yang menggunakan laluan kecemasan tersebut sebelum mengeluarkan tindakan saman terhadap kesemua mereka yang terlibat.
Dalam kejadian Ahad lalu, sebuah kemalangan tragis melibatkan nyawa dua beradik.
Difahamkna, pihak ambulans yang dihubungi terpaksa mengambil masa lebih sejam untuk tiba sedangkan masa diambil sepatutnya cuma 15 minit untuk ke lokasi kejadian berikutan sikap pengguna jalan raya menyalahgunakan lorong kecemasan.
Dua beradik berkenaan yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC cedera parah dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ). Bagaimanapun kelewatan menyebabkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di hospital berkenaan.
Manakala Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Valluvan Veloo meminta saksi yang mempunyai gambar dan video pengguna kenderaan yang menyalahgunakan lorong kecemasan tampil membuat aduan.
“JPJ memandang serius perkara ini. Video serta gambar yang diambil oleh saksi kejadian boleh dilampirkan sebagai bukti kesalahan untuk pemandu tersebut untuk diambil tindakan.
“Saksi di tempat kejadian yang mempunyai video dan gambar yang jelas menunjukkan nombor pendaftaran kenderaan diminta tampil membuat aduan. JPJ akan mengesahkan maklumat pengadu, lokasi, masa dan nombor pendaftaran kenderaan berkenaan dan notis akan dikeluarkan untuk meminta pemilik kenderaan mendedahkan maklumat pemandu.
“Pemandu yang telah dikenalpasti kemudian akan dipanggil untuk siasatan lanjut. Segala bukti yang dikemukakan oleh pengadu juga akan digunakan dalam dakwaan dan pesalah akan didakwa di mahkamah,” katanya.
Jika disabitkan bersalah, pelaku boleh dikenakan hukuman maksimum denda RM2,000 atau penjara 6 bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama. Denda RM4,000 atau penjara 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kedua.
“JPJ atau polis tidak boleh berada di mana-mana, jadi rakyat perlu mengambil tanggungjawab. Namun jangan merakam situasi ketika memandu. Sebaliknya dibuat oleh penumpang bagi mengelakkan kemalangan yang lain pula,” katanya yang juga memberikan jaminan maklumat dan butiran pengadu akan dirahsiakan.
loading...